Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah sedikit berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan penurunan harga minyak mentah global yang menjejaskan penilaian unit tempatan itu, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1750/1780 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1720/1750 pada Khamis.

Seorang peniaga berkata, harga penanda aras minyak mentah Brent turun 0.76 peratus kepada AS$62.79 setong.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata dalam minggu di mana mata wang Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding dolar AS, ringgit hampir mencecah paras 4.19 selepas melepasi di atas paras penggerak 50-harinya, sebelum menyederhana dalam separuh kedua minggu ini.

“Ringgit kini menandakan tiga bulan kenaikan berturut-turut berbanding dolar AS.

“Langkah pasaran pada minggu ini sekali lagi menyokong pengaruh rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China ke atas minat risiko global, apabila pelabur terus menaruh harapan kepada perjanjian perdagangan terhad antara dua ekonomi terbesar dunia itu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan itu turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0550/0579 daripada 3.0537/0579 pada Khamis tetapi naik berbanding pound Britain kepada 5.3807/3859 daripada 5.3965/4020.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.8100/8138 daripada 3.8125/8156 dan naik berbanding euro kepada 4.5938/5987 daripada 4.5942/5992.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini