Ringgit teruskan aliran menurun berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan aliran menurun berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa pasaran dibuka hari ini berikutan kekurangan permintaan kerana sentimen kekal berhati-hati di tengah-tengah rundingan perjanjian perdagangan AS-China yang amat tidak menentu, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1730/1770 berbanding dolar AS daripada 4.1640/1670 ketika ditutup pada Rabu.

Pakar Strategi Pasaran Axi Trader Asia-Pasifik, Stephen Innes, berkata laporan terkini mengatakan Presiden AS Donald Trump dijangka menandatangani rang undang-undang Hong Kong yang diluluskan oleh Senat menjadi undang-undang, boleh merumitkan prospek perdagangan AS-China.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk melindungi hak asasi manusia di Hong Kong di tengah-tengah protes prodemokrasi.

“Ringgit mengalami penyusutan seiring dengan mata wang serantau memandangkan peniaga tempatan mengambil pendekatan berhati-hati.

“Daripada perspektif mata wang serantau, berasaskan hubung kait emas-baht Thailand dan rizab pertukaran asing yang besar milik Thailand, ia menunjukkan baht Thailand akan terus menjadi ‘payung selamat bagi serantau," kata Innes dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, unit juga didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0619/0659 daripada 3.0579/0613 pada Rabu dan menyusut berbanding yen kepada 3.8507/8555 daripada 3.8399/8437.

Mata wang tempatan turun berbanding euro kepada 4.6216/6277 daripada 4.6066/6104 semalam dan rendah berbanding pound British kepada 5.3944/4000 daripada 5.3749/3808.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini