Ringgit uji paras RM4.10 dalam masa - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit uji paras RM4.10 dalam masa



KUALA LUMPUR: Ringgit, yang menjadi mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia bulan ini diunjurkan menguji paras sokongan sekitar RM4.10 hingga RM4.11 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat.

Sepanjang dagangan setakat November 2019, mata wang tempatan itu mencatatkan pulangan yang tinggi berbanding mata wang lain di rantau Asia iaitu sebanyak 0.86 peratus.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit mengukuh sebanyak 0.04 peratus kepada RM4.1425 berbanding satu dolar AS daripada paras RM4.1440 sedolar, semalam.

Pakar Strategi Tukaran Asing (Asia) Scotiabank, Qi Gao, berkata hala tuju ringgit dalam tempoh terdekat akan sebahagian besarnya dipengaruhi oleh perkembangan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Beliau berkata, pihaknya menunggu ucapan Presiden AS, Donald Trump di Economic Club of New York, yang akan mempengaruhi hala tuju prestasi mata wang Asia baharu muncul minggu ini.

“Kami mengekalkan unjuran kedudukan ringgit berbanding dolar AS pada RM4.10,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Gao berkata, langkah Bank Negara Malaysia mengurangkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) akan merangsangkan aset kewangan tempatan, yang turut menyokong kecairan mata wang tempatan dalam sistem kewangan.

Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan nisbah SRR diturunkan sebanyak 50 mata asas kepada 3.0 peratus, berkuat kuasa 16 November 2019, yang mempunyai potensi mengeluarkan mudah tunai sebanyak RM7.4 bilion kepada sistem perbankan.

Kali terakhir BNM menurunkan SRR pada Februari 2016, apabila bank pusat itu menurunkan nisbah berkenaan kepada 3.5 peratus daripada 4.0 peratus.

Mengulas lanjut, Gao berkata, pergerakan harga minyak juga akan menyokong pergerakan ringgit dalam tempoh sederhana.

Katanya, harga minyak mentah dunia dijangka kekal kukuh dengan harapan AS dan China mencapai persetujuan fasa pertama bagi rundingan perdagangan kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu.

Bagi AmBank Research pula, ia mengunjurkan ringgit akan mengambil petunjuk daripada perkembangan perdagangan, yang mana akan mempengaruhi prestasi mata wang tempatan minggu ini.

Cabang penyelidikan AmBank Group itu mengunjurkan ringgit berbanding dolar AS akan berlegar antara paras sokongan RM4.1134 dan RM4.1073.

Sementara bagi paras rintangan pula, ia mengunjurkan pada paras RM4.1507 dan RM4.1598 bagi satu dolar AS.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini