Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan yang lebih baik terhadap unit tempatan, dengan data ekonomi AS yang lebih rendah daripada jangkaan dan harga minyak dunia yang tinggi.

Pada 9.17 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1640/1700 berbanding dolar AS daripada 4.1680/1710 semasa ditutup semalam.

Peniaga berkata, peserta pasaran bimbang mengenai kedudukan ekonomi AS berikutan ia mungkin terjejas oleh perang perdagangan dengan China, seperti dapat dilihat daripada aktiviti perkilangan yang merosot.

“Institut Pengurusan Bekalan AS berkata indeks aktiviti perkilangan negara susut 0.2 mata kepada 48.1 pada November.

“Peserta pasaran turut menjangka Rizab Persekutuan akan mengekalkan kadar faedah untuk tempoh dua tahun akan datang, menyebabkan dolar AS lemah,” katanya.

Sementara itu, harga minyak dunia meningkat selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum bersetuju untuk meningkatkan sekatan pengeluaran dengan tambahan 500,000 tong sehari pada awal 2020, dengan niaga hadapan minyak mentah Brent naik satu cent kepada AS$63.40 setong dan niaga hadapan minyak West Texas Intermediate meningkat dua cent kepada AS$58.45 setong.

Kenaikan harga minyak dilihat positif bagi Malaysia berikutan ia akan memberi rangsangan kepada hasil minyak dan gas negara.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding dolar Singapura, yang meningkat kepada 3.0600/0662 daripada 3.0611/0638.

Ia merosot berbanding yen kepada 3.8283/8348 daripada 3.8253/8291, susut berbanding pound British kepada 5.4782/4865 daripada 5.4730/4786 dan rendah berbanding euro kepada 4.6237/6308 daripada 4.6227/6269 semasa ditutup semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini