Ringgit hampir cecah paras tertinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit hampir mencecah paras tertinggi tahunan hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari dagangan terakhir 2019, dipacu kelemahan dolar AS serta kemajuan dalam perjanjian perdagangan AS-China.

Ringgit didagangkan pada 4.0980/1010 berbanding dolar AS daripada 4.1045/1085 penutup semalam, yang adalah paras tertinggi sejak 30 Januari.

Ketua Pegawai Eksekutif AxiTrader, Stephen Innes, berkata nota tempatan menjejaki yuan China yang kukuh, disokong jangkaan perjanjian perdagangan "fasa pertama" AS-China yang akan dimeterai pada awal tahun depan.

"Yuan adalah barometer paling baik untuk memahami pergerakan dolar AS di tengah-tengah persengketaan AS-China, manakala dolar dijangkakan akan diperdagangkan lebih rendah dalam beberapa bulan akan datang," katanya kepada BERNAMA.

Innes berkata peniaga, bagaimanapun, tetap berhati-hati terhadap ringgit, di tengah-tengah persekitaran luaran yang agak lemah.

Berbanding sekumpulan mata wang utama lain, ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0389/0430 daripada 3.0424/0458 semalam tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.7665/7703 daripada 3.7608 / 7655.

Ringgit menokok berbanding pound Britain kepada 5.3749/3793 daripada 5.3839/3908 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5914/5956 daripada 4.5966/6019.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini