Coronavirus jejas saham, mata wang Asia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Coronavirus jejas saham, mata wang Asia



SINGAPURA: Pasaran saham dan mata wang Asia susut apabila jumlah kematian daripada virus coronavirus di China meningkat, manakala lebih banyak kes dilaporkan di seluruh dunia.

Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell, mengakui risiko daripada berlakunya kelembapan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu, namun berkata masih terlalu awal untuk menjelaskan impaknya terhadap Amerika Syarikat (AS).

Indeks MSCI saham Asia Pasifik selain Jepun susut 1.7 peratus ke paras terendah dalam tujuh minggu.

Ia jatuh buat enam sesi berturut-turut.

Indeks Nikkei Jepun jatuh dua peratus, manakala Hang Seng di Hong susut 1.7 peratus dan kehilangan lebih lapan peratus dalam tempoh 10 hari sejak penularan virus itu menjejaskan pasaran.

Indeks penanda aras Taiwan menjunam 4.9 peratus, yang menjadi penurunan harian terbesar dalam 15 bulan. Ia membuka sesi pertamanya sejak cuti Tahun Baharu Cina.

Dolar Taiwan jatuh setengah mata peratusan ke paras terendahnya tahun ini.

Pulangan ke atas penanda aras 10 tahun Perbendaharaan AS, yang jatuh jika harganya meningkat, mencecah paras terendah dalam tempoh tiga bulan pada 1.5600 peratus.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan jumlah kematian yang disahkan daripada coronavirus di negara itu meningkat kepada 170 orang dan jumlah pesakit yang dijangkit bertambah kepada 7,711 orang.

Kes turut dilaporkan di kira-kira 15 negara dan setiap wilayah di China.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini