Faktor luaran, domestik pacu pengukuhan ringgit


KUALA LUMPUR: Standard Chartered Bank yakin prestasi ringgit lebih kukuh tahun ini disokong keredaan perang perdagangan, lebihan dagangan, akaun semasa dan rizab tukaran asing Malaysia yang mantap.

Ketua Penyelidikan Tukaran Asing ASEAN dan Asia Selatannya, Divya Devesh, berkata faktor luaran seperti jangkaan permintaan kukuh terhadap tukaran asing pasaran baharu muncul, pengukuhan renminbi dan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) akan menyokong ringgit untuk mencatatkan prestasi lebih baik berbanding 2019.

“Kami bulis terhadap ringgit. Ringgit diunjur berlegar pada paras RM4.00-RM4.10 berbanding satu dolar AS tahun ini, lebih baik berbanding RM4.10-RM4.20 sedolar tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai tinjauan ekonomi Malaysia dan pasaran tukaran asing di sini, hari ini.

Dalam tempoh Januari hingga November 2019, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan bernilai RM124.74 bilion, meningkat 10.6 peratus berbanding RM112.82 bilion yang dicatatkan tempoh sama 2018.

Ia lebihan dagangan terbesar yang direkodkan untuk tempoh Januari hingga November sejak 2009.

Pada 31 Disember 2019, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah sebanyak AS$103.6 bilion, memadai untuk membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Sementara itu, Ketua Ekonomi ASEAN dan Asia Tenggara Standard Chartered Bank, Edward Lee, berkata Standard Chartered mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada 2020 dengan penggunaan kekal pemacu utama pertumbuhan, meskipun kadar perbelanjaan dijangka sedikit perlahan.

Beliau berkata, keredaan perang perdagangan antara AS dan China, pelonggaran monetari global dan peningkatan elektronik akan mengimbangi perbelanjaan pengguna yang perlahan.

Katanya, pasaran buruh di negara ini dijangka kekal utuh meskipun terdapat beberapa petanda awal pertumbuhan perlahan.

“Pelaburan secara keseluruhan dijangka pulih sedikit pada 2020, di tengah-tengah keredaan perang perdagangan dan pelaksanaan semula projek infrastruktur,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini