Ringgit berpotensi lepasi paras ujian RM4


KUALA LUMPUR: Ringgit yang memulakan dagangan 2020 secara positif dijangka berpotensi mencecah RM3.97 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini, sekali gus melepasi paras ujian RM4.00, jika dolar AS terus melemah.

Kebanyakan penganalisis mengunjurkan prestasi mata wang tempatan lebih baik tahun ini berikutan harga minyak mentah dunia yang kukuh, jangkaan kembalinya dana asing ke dalam pasaran baharu muncul serta asas ekonomi negara yang kekal kukuh akan menyokong pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi IQI Global, Shan Saeed, berkata ringgit akan mengekalkan kestabilan struktur pada 2020 meskipun berdepan risiko geopolitik dan ketidaktentuan luar jangka dalam pasaran kewangan global.

Justeru, beliau mengunjurkan ringgit berlegar antara RM3.97 dan RM4.30 berbanding dolar AS tahun ini dengan mata wang tempatan itu dijangka menjejaki pergerakan yuan dan harga minyak, sementara dolar AS pula diunjurkan menyusut pada 2020.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) menggunakan dasar monetari dengan sangat bijak dan berhemat dalam tempoh tujuh tahun lalu untuk mengekalkan momentum pertumbuhan.

“Dasar monetari adalah satu-satunya pemacu paling penting dalam memberikan kestabilan dan prospek yang seimbang untuk ringgit pada masa lalu.

“BNM telah memenuhi mandatnya dengan menyediakan tinjauan yang stabil pada 2019 dengan inflasi terkawal di bawah dua peratus, kestabilan pertumbuhan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) positif dan kadar pengangguran di bawah 3.0 peratus,” katanya kepada BH dalam satu temubual eksklusif melalui e-mel.

Bagi 2020, Shan berkata, BNM masih mempunyai banyak pilihan untuk dilaksanakan menerusi dasar monetari bagi merangsang pertumbuhan dan menyampaikan hasil ekonomi dengan jayanya.

Beliau berkata, terdapat banyak pilihan dasar untuk merangsang ekonomi.

“Pasaran mempunyai keyakinan terhadap BNM untuk memacu pertumbuhan menerusi penggunaan dasar monetari yang berhemat dan berkesan.

“Ia sentiasa menjadi dasar monetari yang memacu ekonomi dan bukannya dasar fiskal, yang mempunyai hasil ekonomi dan kesan terhadap terhadap prospek KDNK,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini