Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan prestasi lemah minggu lepas untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan ramai pelabur mengalihkan minat mereka kepada mata wang selamat susulan ketegangan memuncak di Timur Tengah.

Pada 6 petang, ringgit disebut pada 4.1020/1060 berbanding dolar AS daripada 4.1005/1035 ketika Jumaat minggu lalu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran FXTM, Hussein Sayed berkata situasi di Iran telah menjejaskan sedikit sentimen kukuh terhadap ekonomi tahun ini, selepas ketegangan perdagangan AS-China menjadi reda dan pelabur lebih jelas mengenai Brexit.

“Serangan AS sehingga membunuh komander tentera Iran di Iraq mungkin tidak dapat menghentikan perang seperti dakwaan Presiden Donald Trump, sebaliknya tindakan ini boleh mula mencetuskan konflik baharu di Timur Tengah yang dijangkakan memberi kesan kepada global.

“Menariknya, kami mendapati segelintir pelabur membeli ‘call option’ hampir AS$100 untuk melindungi atau meraih untung daripada kenaikan harga besar-besaran. Mereka menjangkakan Iran akan menyasarkan perkapalan di Selat Hormuz, yang berperanan sebagai aliran bekalan minyak kelima dunia,” katanya.

Hussein berkata sekiranya selat ini disekat, walaupun bagi jangka pendek, ia akan menyebabkan harga melonjak ketara.

“Pada harga AS$70 hingga AS$80 setong, ekonomi global dijangkakan tidak terlalu terkesan daripada kenaikan ini, namun jika harga semakin menghampiri AS$100 maka akan wujud akibat yang buruk, yang akan mencetuskan jualan besar-besaran dalam pasaran ekuiti,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0396/0428 daripada 3.0363/0401 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas serta lemah berbanding yen Jepun kepada 3.7989/8033 daripada 3.7936/7974.

Ringgit juga turun berbanding pound Britain kepada 5.3908/3977 daripada 5.3577/3637 dan rendah berbanding euro kepada 4.5910/5971 daripada 4.5675/5717.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini