Ringgit kembali meningkat berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali meningkat berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum peningkatan minggu lepas untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS dan sekumpulan mata wang lain hari ini, menjelang pemeteraian fasa satu perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China minggu ini.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.0610/0640 berbanding dolar daripada 4.0750/0780 pada penutupan Jumaat.

Ketua Strategik Pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes berkata penandatanganan perjanjian perdagangan itu akan memberi dorongan kepada pengeksport ASEAN, kemasukan ekuiti/bon dan mata wang sensitif seperti ringgit.

“Ringgit secara relatifnya rendah daripada nilai sebenar berbanding mata wang serantau, oleh itu kami sudah mula melihat ringgit mengukuh, selari yuan yang semakin tinggi menjelang pemeterian perjanjian terbabit.

“Pedagang ringgit kini dalam sentimen mengambil risiko, memandangkan yuan, petunjuk utama Asia, didagangkan dalam momentum peningkatan, yang ternyata baik untuk mata wang ASEAN secara umumnya sejak bermulanya tahun 2020,” katanya.

Innes berkata ringgit dijangkakan kekal tinggi dalam tempoh separuh pertama 2020.

Dengan turun naik mata wang yang rendah, pelabur berminat mendapatkan mata wang yang memberi pulangan tinggi, katanya, dan menambah laporan upah Amerika Syarikat juga mampu meningkatkan permintaan ke atas aset yang memberi pulangan yang lebih tinggi, dengan prospek Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah.

“Jangan terkejut jika pasaran mula mengambil kira kemungkinkan satu atau dua penurunkan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) jika inflasi masih rendah, terutama jika Ahli Lembaga Rizab Persekutuan AS memperkenalkan sasaran purata inflasi,” katanya.

Ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0146/0177 dari[ada 3.0194/0219 pada penutupan Jumaat lepas, dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6965/6999 daripada 3.7160/7198 sebelumnya.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2675/2730 daripada 5.3244/3299 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5130/5179 daripada 4.5216/5254 Jumaat lepas.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini