Ringgit rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila mata wang AS itu kekal kukuh berikutan data ekonomi negara berkenaan yang positif, kata seorang peniaga.

Data pada Jumaat lalu menunjukkan pembinaan rumah di AS melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun pada Disember dengan jualan runcit juga meningkat dan aktiviti pembuatan melantun semula ke paras tertingginya dalam tempoh lapan bulan.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada 4.0580/0620 berbanding dolar AS daripada 4.0520/0560 pada Jumaat minggu lalu.

Peniaga itu berkata, pasaran ringgit juga berada dalam suasana berhati-hati ketika peniaga mencari hala tuju pasaran menjelang pengumuman indeks harga pengguna (IHP) dan keputusan dasar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) minggu ini.

Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader, Stephen Innes, berkata BNM dijadual bermesyuarat pada Rabu apabila ia dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah, bergantung kepada data ekonomi daripada perkembangan fasa pertama perjanjian perdagangan AS-China.

“Unit tempatan dijangka menerima rangsangan utama daripada pemulihan perdagangan global, jadi data ekonomi dunia yang bertambah baik boleh menjadi kunci kepada pemulihan semula ringgit,” katanya.

Keseluruhannya, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0108/0142 daripada 3.0108/0149 pada Jumaat minggu lalu dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.6831/6877 daripada 3.6776/6816.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.4995/5056 daripada 4.5083/5139 pada Jumaat minggu lepas, tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2685/2757 daripada 5.2895/2963.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini