Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran penurunan berbanding dolar AS ketika dibuka dagangan pagi ini dalam pada ketidaktentuan mengenai kerajaan perpaduan dicadangkan dan gesaan diadakan pilihan raya umum, kata penganalisis.

Kebimbangan baharu mengenai tempoh impak COVID-19 terhadap pertumbuhan global juga menjadi penyumbang kepada kelemahan mata wang tempatan.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan merosot kepada 4.2350/2390 berbanding dolar AS daripada 4.2310/2350 semasa ditutup pada Selasa.

Walaupun meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh negara, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Interim.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong mengadakan temu bual secara individu dengan 90 Ahli Parlimen di Istana Negara, manakala baki 132 wakil rakyat lain akan diadakan hari ini, sebagai usaha untuk menamatkan kemelut politik negara.

Sementara itu, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) pada Selasa menyatakan pasaran kewangan Malaysia terus berfungsi cekap dengan adanya mudah tunai besar yang mencukupi di sebalik perkembangan terkini politik tempatan.

Katanya kuantiti urus niaga pertukaran asing (FX) kekal kukuh sebanyak AS$14.6 bilion, disokong oleh aliran dua hala, manakala pergerakan dolar dolar AS berbanding ringgit (USD/MYR) menunjukkan turun naik kekal dalam jajaran biasa 4.0 hingga 4.5 peratus.

“USD/MYR dibuka tinggi dan diniagakan secara teratur sepanjang hari sejajar dengan jangkaan pasaran dan seiring dengan prestasi mata wang serantau di tengah-tengah penularan COVID-19 di seluruh dunia. Peningkatan minat membawa kepada kuantiti FX antara bank USD/MYR berganda daripada purata minggu lalu,” menurut FMC.

Dalam pasaran pendapatan tetap ringgit, katanya pelarasan hasil bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia adalah teratur, dengan paras hasil lima tahun dan 10 tahun pulih semula daripada pergerakan menaik awalnya.

Keseluruhan pasaran bon sekunder mencatatkan kuantiti dagangan harian kukuh sebanyak RM5.9 bilion berbanding purata harian RM4.7 bilion pada 2019.

Presiden Financial Market Association of Malaysia (FMAM), Chu Kok Wei, berkata cara yang teratur untuk ringgit FX dan pasaran bon berfungsi mencerminkan kematangan pasaran kewangan Malaysia.

Beliau berkata, terdapat mudah tunai yang mencukupi untuk memenuhi semua keperluan pihak berkepentingan, seperti yang dapat dilihat dalam jumlah urus niaga yang tinggi.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Ia naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0241/0274 daripada 3.0256/0289 pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding yen kepada 3.8416/8463 daripada 3.8324/8371 semalam.

Unit tempatan susut berbanding pound kepada 5.5051/5120 daripada 5.4969/5038 dan jatuh berbanding euro kepada 4.6026/6086 daripada 4.5902/5962. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini