Ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah



KUALA LUMPUR: Ringgit mencatatkan penurunan sekali lagi apabila dibuka rendah pagi ini berikutan berita angka kematian akibat daripada 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) mencecah 361 orang, yang meningkatkan lagi kebimbangan pertumbuhan global akan terjejas teruk ekoran wabak ini.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1020/2050 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras penutup 4.0960/1000 pada Jumaat.

Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata minggu ini dijangka mencabar bagi ringgit berikutan peningkatan aliran keluar modal apabila kebimbangan terhadap impak ekonomi daripada virus ini semakin meningkat.

“Saya cuba melihat apakah situasi kita dalam kecelaruan ini, tetapi negara-negara ASEAN dijangka terjejas teruk,” katanya.

Innes berkata, pasaran juga memantau dengan rapat tawaran People's Bank of China kepada pasaran mata wang.

Bank pusat China itu dilaporkan akan membekalkan 1.2 trilion yuan kepada pasaran wang untuk meningkatkan pasaran kewangan dan membantu syarikat yang terjejas akibat daripada wabak berkenaan.

“Kita perlu melihat bahawa keadaan semakin bertambah baik. Jadi, saya unjurkan jajaran dagangan pada 4.08-4.12 secara keseluruhannya,” katanya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan itu turun sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0040/0080 daripada 2.9988/3.0032 pada Jumaat minggu lepas dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7803/7841 daripada 3.7581/7628.

Ringgit juga jatuh berbanding euro kepada 4.5458/5496 daripada 4.5167/5227 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.4040/4083 daripada 5.3723/3792 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini