Ringgit dibuka tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini menjelang pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat oleh Bank Negara Malaysia esok.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1400/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1450/1480 pada Isnin.

Maybank IB Research, dalam nota, menjangka ekonomi negara akan berkembang sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun pada suku keempat berdasarkan penurunan dalam sektor perlombongan dan pertanian serta pembuatan yang lembap.

Ini walaupun sektor perkhidmatan meningkat dan pembinaan mencatatkan pemulihan.

Petunjuk permintaan, seperti indeks perdagangan runcit, import barangan modal dan lebihan dagangan, akan menunjukkan kepada kelembapan dalam permintaan domestik dan permintaan luaran bersih.

“Unjuran pertumbuhan 2020 semasa kami sebanyak +4.4 peratus dengan risiko semakan semula penurunan berdasarkan kemerosotan daripada penularan coronavirus,” menurut firma penyelidikan itu.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata sentimen dalam pasaran forex akan terus dipengaruhi oleh coronavirus.

“Pasaran terus bimbang mengenai peningkatan kes di luar China, yang akan terus mengekang risiko sehingga terdapat petunjuk yang pasti bahawa penularan coronavirus semakin berkurangan.

“Ketidakpastian mengenai penularan baharu/sekunder menjadi lapuk,” katanya dalam nota hari ini.

Ringgit turut tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9816/9863 daripada 2.9848/9874 pada Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.7695/7750 daripada 3.7771/7805.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3456/3524 daripada 5.3508/3563 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5159/5230 daripada 4.5384/5421 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini