Ringgit kukuh berbanding dolar Singapura, tertinggi sejak Ogos 2018 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kukuh berbanding dolar Singapura, tertinggi sejak Ogos 2018


KUALA LUMPUR: Ringgit terus mengukuh berbanding dolar Singapura (SGD) ke bawah paras RM3 sedolar setelah Monetary Authority of Singapore (MAS) berpendapat terdapat ruang dolar Singapura terus lemah jika ekonomi perlahan susulan penularan coronavirus.

Ringgit mencapai paras tertinggi harian RM2.9787 berbanding SGD pada tengahari tadi, yang juga paras tertinggi 16 Ogos 2018, sebelum kembali stabil pada RM2.9854 pada petang ini, mengukuh 0.51 peratus berbanding penutup semalam iaitu RM3.007.

MAS dalam satu kenyataan semalam berkata, mata wang Singapura, yang disandarkan dalam jajaran berdasarkan sekumpulan mata wang tertentu, boleh lemah jika kesan penularan coronavirus berterusan.

Penganalisis sebelum ini berkata, ekonomi Singapura dan Thailand dijangka terkena kesan paling teruk dalam kalangan negara ASEAN susulan penularan coronavirus.

Maybank Kim Eng dalam laporan ekonomi serantaunya baru-baru ini, berkata ia susulan pasaran kedua negara berkenaan memiliki kebergantungan lebih tinggi dalam perdagangan dan pelancongan dengan China berbanding jirannya seperti Malaysia, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Singapura dan Thailand berkemungkinan besar akan paling terjejas sehingga boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi mereka menurun, kata bahagian penyelidikan bank pelaburan itu.

Sementara itu katanya, impaknya kepada Malaysia dan Vietnam pula sederhana manakala Filipina dan Indonesia adalah negara yang paling kurang terkesan.

“Singapura adalah yang paling teruk terkesan sewaktu krisis Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003. Berdasarkan anggaran Penguasa Kewangan Singapura (MAS), sektor berkaitan pelancongan seperti hotel dan pengangkutan udara adalah paling teruk terjejas diikuti restoran, perdagangan runcit dan pengangkutan darat.

“Malah, sektor hartanah dan perkhidmatan kewangan turut terjejas secara sederhana hasil kesan limpahan negatif daripada krisis berkenaan,” katanya.

Thailand yang menjadi destinasi terbesar pelancong China di luar Hong Kong dan Macau, dilihat akan terjejas teruk kali ini dibandingkan sewaktu episod SARS, kata laporan itu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini