Ringgit terus catatkan penyusutan berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus mencatat penyusutan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan data positif pasaran perumahan Amerika Syarikat dan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang stabil.

Pada jam 6 petang, unit tempatan menyusut 200 mata asas (bps) kepada 4.1800/1840 berbanding dolar AS daripada 4.1600/1620 ketika ditutup Rabu.

Ini adalah paras terendah yang kali terakhir dilihat pada 26 November 2019 apabila unit tempatan ditutup kepada 4.1810/1850 berbanding dolar AS.

Dalam nota hari ini, Penganalisis Kanan Pasaran OANDA bagi Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata dolar AS dalam pergerakan yang stabil berbanding mata wang serantau.

Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata kebimbangan ekonomi yang semakin meningkat dari China serta kebimbangan berlakunya kemelesetan di Jepun telah mempengaruhi prestasi ringgit.

“Pertumbuhan yang perlahan di China akan memberikan kesan lebih menyeluruh kepada ekonomi ASEAN, termasuk Malaysia berikutan gangguan rantaian penawaran telah menjejaskan eksport manakala komoditi yang tergendala telah mempengaruhi inflasi.

“Ketika ini Jepun menghampiri kemelesetan, ia membayangkan permintaan terhadap mata wang selamat berbanding aset berisiko ASEAN akan menjadi lebih tumpuan, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini,” katanya.

Innes berkata, kejatuhan ringgit juga menjejaki kelemahan yuan China berikutan peniaga menjual ringgit dengan lebih rendah berikutan faktor korelasi.

Ketika ditutup, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama yang lain kecuali berbanding euro.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9849/9894 daripada 2.9885/9910 semalam, naik berbanding pound kepada 5.3926/3990 daripada 5.4101/4143 dan mengukuh berbanding yen kepada 3.7328/7367 daripada 3.7729/7761.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 4.5140/5191 daripada 4.4932/4970 pada Rabu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini