Ringgit terus menyusut



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penurunannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mencecah paras 4.16 pada penutup hari ini apabila pelabur terus mengelak daripada aset Malaysia di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

Pada jam 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.1600/1620 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1520/1560 pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes, berkata pasaran masih sedang menilai impak daripada COVID-19 ke atas ekonomi negara.

“Selain itu, ringgit turut menerima kesan negatif selepas People's Bank of China (PBoC) menetapkan kadar rujukan harian yuan di atas paras 7.00 di tengah-tengah kekukuhan dolar AS,” katanya.

PBoC, pada Rabu, menetapkan kadar rujukan harian yuan pada 7.0012 berbanding 6.9826 pada Selasa.

Kali terakhir bank pusat itu menetapkan kadar lebih rendah daripada paras 7.0 adalah pada 25 Disember 2019.

“Saya merasakan pasaran kekal definitif sehingga pelabur memperoleh kejelasan daripada data ekonomi China,” katanya.

Pada penutup, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 2.9885/9910 daripada 2.9810/9850 pada Selasa dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4101/4143 daripada 5.3951/4020.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 3.7729/7761 daripada 3.7838/7878 pada Selasa dan naik berbanding euro kepada 4.4932/4970 daripada 4.4950/5009.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini