COVID-19: Ekonomi Malaysia potensi alami kemelesetan teknikal separuh pertama tahun ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

COVID-19: Ekonomi Malaysia potensi alami kemelesetan teknikal separuh pertama tahun ini


KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih perlahan iaitu antara 0.4 peratus hingga 2.5 peratus tahun ini, dengan potensi mengalami penguncupan pertumbuhan atau kemelesetan teknikal pada separuh pertama, kata penganalisis.

Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan itu tidak mengambil kira pakej rangsangan ekonomi kedua ekoran penularan COVID-19 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Kesan negatif penularan pandemik COVID-19 menyebabkan gangguan terhadap bekalan dan rantaian nilai berikutan langkah sekatan pergerakan dilaksanakan di banyak negara bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Selain itu, perang harga minyak antara Arab Saudi dan Russia yang memperlihatkan penyusutan ketara harga minyak mentah dunia di bawah AS$30 setong turut menyumbang kepada pertumbuhan perlahan ekonomi dunia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pandemik COVID-19 akan mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020 dengan kesan buruknya sama seperti krisis kewangan pada 2008 atau lebih buruk lagi.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk 2020 adalah negatif - kesan buruk kemelesetan sama dengan krisis kewangan atau lebih buruk, tetapi pihaknya menjangkakan akan pulih pada 2021.

Bagi ekonomi Malaysia, penganalisis tempatan dan luar negara menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan berkembang lebih perlahan berbanding unjuran kerajaan sekitar 3.6 peratus hingga 4.0 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi AmInvesment Research, Dr Anthony Dass, berkata ekonomi negara dijangka berdepan kemelesetan teknikal tahun ini berikutan cabaran luaran dan domestik berterusan.

Beliau berkata, ekonomi domestik dijangka mengalami pertumbuhan negatif pada suku pertama tahun ini sebanyak -2.8 peratus, yang mana ia penguncupan pertama sejak suku ketiga 2009.

Seterusnya, ekonomi negara ini dijangka mencatat pertumbuhan negatif pada suku kedua 2020 dengan jangkaan -1.8 peratus, manakala normalisasi ekonomi tempatan dijangka berlaku pada separuh kedua 2020, sama seperti ekonomi global, katanya.

“Usaha bersama oleh ekonomi global, termasuk Malaysia untuk menyokong pertumbuhan menerusi langkah monetari dan rangsangan fiskal akan mula membuahkan hasil positif.

“Pada ketika itu, sekatan ‘separa’ atau ‘sepenuhnya’ akan ditarik balik kerana kesan virus itu dapat diatasi secara global. Pertumbuhan KDNK Malaysia bagi keseluruhan 2020 adalah 0.4 peratus dengan penurunan pada -1.1 peratus,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid juga menyemak semula unjuran KDNK Malaysia kepada 0.4 peratus bagi 2020 berbanding unjuran sebelum ini 4.0 peratus.

Beliau berkata, pada kadar 0.4 peratus itu, ekonomi negara mengalami kemelesetan -1.1 peratus pada separuh pertama 2020.

“Dengan mengandaikan COVID-19 boleh dikekang sekitar suku kedua 2020, kami jangka KDNK mencatatkan pertumbuhan positif 1.8 peratus pada separuh kedua 2020,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Kanan United Overseas Bank (UOB) Malaysia, Julia Goh, berkata pihaknya mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 2.4 peratus bagi 2020 berbanding unjuran sebelum ini 4.0 peratus.

Beliau berkata, pihaknya juga bimbang dengan impak lebih meluas risiko global berkaitan COVID-19 dan kecairan dolar AS yang terhad.

Bank itu juga mengunjurkan ringgit mencecah RM4.27 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat berbanding unjuran sebelum ini RM4.05 sedolar.

Standard Chartered juga menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 2.5 peratus bagi 2020 memandangkan tinjauan permintaan lebih teruk daripada dijangkakan.

Ia berkata, penularan global COVID-19 dan kejatuhan harga minyak mentah akan menjejaskan aktiviti tempatan.

“Lebih banyak sokongan monetari diperlukan. Kami kini jangka satu lagi pengurangan kadar sebanyak 50 mata asas tahun ini. Kami menurunkan unjuran inflasi 2020 kepada 0.8 peratus berbanding 1.9 peratus sebelum ini berikutan kejatuhan harga minyak,” katanya.

Pengarah Penarafan Berdaulat Asia Pasifik Fitch Ratings, Thomas Rookmaaker, berkata sekatan perjalanan akan memberi tekanan kepada aktiviti ekonomi dalam tempoh singkat, tetapi jika berjaya ia boleh melonjakkan semula ekonomi.

Beliau mungkin menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 2.3 peratus bagi 2020 berbanding unjuran sebelum ini 4.3 peratus.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini