COVID-19: Langkah kawalan global heret turun harga minyak dunia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

COVID-19: Langkah kawalan global heret turun harga minyak dunia


TOKYO: Harga minyak mentah dunia jatuh pada Isnin berikutan semakin banyak negara menjalankan perintah kawalan bagi membendung penularan COVID-19.

Kejatuhan ini sekaligus menggangu prospek permintaan dan menyebabkan penguncupan ekonomi global.

Harga minyak mentah Brent turun AS$1.09, atau empat peratus kepada AS$25.89 satu tong pada 0209 GMT.

West Texas Intermediate (WTI) susut 15 sen, atau 0.7 peratus kepada AS$22.48 satu tong.

Harga minyak mencatatkan penurunan selama empat minggu berturut-turut.

Harga semua dari arang batu hingga tembaga juga telah dilanda krisis, sementara pasaran di dalam bon dan saham memasuki tempoh sukar yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

COVID-19 telah menjangkiti lebih daripada 325,000 orang seluruh dunia dan menyebabkan lebih 14,000 orang maut.

Wabak itu mengganggu perniagaan, pelancongan dan kehidupan seharian kebanyakan penduduk di dunia.

Banyak syarikat minyak bertindak mengurangkan perbelanjaan dan ada antara pengeluar sudah mula menjalankan beberapa strategi termasuk memberi cuti kepada pekerja.

Pasaran minyak berdepan dengan dua situasi ketika ini dalam permintaan disebabkan pandemik COVID-19 dan perang harga antara pengeluar utama, Russia dan Arab Saudi pada awal bulan ini.

Urus niaga kawalan had pengeluaran semasa tamat pada 31 Mac ini.

“Kami menjangkakan harga minyak akan terus menyusut dalam masa terdekat disebabkan beberapa situasi sukar ketika ini.

“Ia akan menjejaskan permintaan dan bekalan minyak global selain tiada kawalan had pengeluaran selepas 1 April ini,” kata penganalisis kanan Hedgeye Potomac Research, Joseph McMonigle dalam satu nota penyelidikannya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini