Ringgit dijangka kekal lemah minggu hadapan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka kekal lemah minggu hadapan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan aliran menurunnya berbanding dolar AS minggu depan kerana persekitaran luaran yang lemah di tengah-tengah peningkatan kebimbangan penularan COVID-19 akan mengekang minat pelabur, kata peniaga.

Seorang peniaga berkata ringgit dijangka bergerak tidak menentu antara paras 4.1650 dan 4.1850, dan penurunan di bawah 4.20 sesuatu di luar jangkaan buat masa ini berikutan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia yang meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

Beliau percaya persekitaran negatif dalam pasaran global ditambah dengan penurunan harga minyak adalah lebih kukuh berbanding situasi tempatan, justeru, mata wang tempatan dijangka meneruskan aliran menurunnya selepas meningkat sekejap pada pertengahan minggu.

“Angka ekonomi jatuh disebabkan kebimbangan yang memuncak terhadap COVID-19, harga minyak turun 2.7 peratus semalaman pada Jumaat di bawah paras US$50 setong, yang akan menjejaskan sasaran defisit Malaysia bagi tempoh jangka panjang.

“Dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah kedua-duanya menurunkan kadar faedah utama mereka, ini jelas menunjukkan kelembapan ekonomi global pada 2020,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS kepada 4.1700/1750 berbanding 4.2120/2180 yang dicatatkan pada Jumaat minggu sebelumnya.

Pergerakan itu dipengaruhi penurunan OPR oleh BNM dan kadar faedah utama oleh Rizab Persekutuan AS, penurunan harga minyak berikutan potensi pengurangan pengeluaran oleh negara-negara pengeluar serta kebimbangan terhadap COVID-19.

BNM pada Selasa menurunkan kadar penanda arasnya sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus untuk menyediakan persekitaran monetari lebih akomodatif bagi menyokong unjuran pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik di tengah-tengah kestabilan harga.

Ini adalah penurunan kadar kedua selepas bank pusat mengambil langkah mengejut menurunkan kadarnya sebanyak 25 mata asas semasa mesyuarat pertamanya pada 22 Jan tahun ini.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0222/0267 daripada 3.0215/0269 pada minggu sebelumnya, susut berbanding yen Jepun kepada 3.9643/9701 daripada 3.8749/8815 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7088/7161 daripada 4.6517/6588 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4156/4237 daripada 5.4343/4438 sebelumnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini