Ringgit dijangka kekal rendah berbanding dolar AS minggu depan


Ringgit dijangka susut dan kekal pada paras rendah 4.20 berbanding dolar AS minggu depan berikutan kekurangan pemangkin yang positif.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata ketidaktentuan ketara membabitkan pembentukan kerajaan baharu serta tawaran dasar yang berpotensi akan hanya menjejaskan lagi aset Malaysia yang sudah terjejas teruk akibat kebimbangan membabitkan COVID-19.

“Dolar AS/ringgit kekal pada tahap lemah iaitu 4.20 dan didagangkan dalam julat 4.21-4.24 ketika ringgit terus diasak akibat perkembangan politik yang tidak menentu selain kebimbangan COVID-19 sebagai pandemik global.

“Prospek ringgit bagi tempoh terdekat ini pula dijangka terus dipengaruhi oleh faktor dasar dan ketidakpastian ekonomi. Ini berlaku ketika risiko di pasaran global menjejaskan tarikan mata wang Asia di tengah-tengah perkembangan COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata kalangan penggiat pasaran juga berbeza pandangan mengenai prospek penurunan kadar faedah lain oleh Bank Negara Malaysia pada minggu depan.

“Satu lagi penurunan 25 mata asas kepada kadar faedah utama itu boleh menyebabkan ringgit terus lemah walaupun prestasi mata wang sedemikian dapat membantu mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi oleh Malaysia,” katanya.

Bank pusat itu akan mengadakan mesyuarat kedua Jawatankuasa Dasar Monetari pada 2-3 Mac.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada 4.2120/2180 daripada 4.1900/1940 pada Jumaat sebelumnya.

Ringgit khususnya dipengaruhi oleh isu seperti krisis politik domestik dan COVID-19 yang masih berlanjutan.

Sentimen negatif bagaimana pun dapat dikekang oleh pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion oleh Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lalu yang bertujuan mengurangkan impak COVID-19 terhadap ekonomi domestik.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit susut berbanding kelompok mata wang utama.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0215/0269 daripada 2.9924/9957 sebelum ini dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4343/4438 daripada 5.4110/4178.

Ringgit juga rendah berbanding euro kepada 4.6517/6588 daripada 4.5286/5346 pada minggu sebelumnya dan susut berbanding yen kepada 3.8749/8815 daripada 3.7504/7550 sebelum ini.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/ringgit-dijangka-kekal-rendah-berbanding-dolar-as-minggu-depan/

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini