Ringgit dijangka teruskan momentum kenaikan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka teruskan momentum kenaikan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan momentum peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan walaupun dalam dagangan berhati-hati, didorong oleh perkembangan ekonomi global dan domestik yang positif, kata peniaga.

Menurut peniaga, pengumuman langkah-langkah rangsangan oleh bank-bank pusat global pada minggu ini dijangka mendorong pelabur antarabangsa untuk beralih kepada mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit.

Namun, pelabur global akan terus memantau petunjuk mengenai kesan ekonomi akibat penularan COVID-19.

Pada Khamis misalnya, Senat AS secara sebulat suara menyokong rang undang-undang bernilai AS$2 trilion bagi membantu pekerja yang menganggur dan industri terjejas oleh wabak COVID-19 serta menyediakan berbilion dolar bagi membeli peralatan perubatan yang amat diperlukan.

Di peringkat tempatan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan bernilai RM250 bilion pada Jumaat bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi susulan impak pandemik COVID-19.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) juga dijangka menyuntik rasa optimis dalam kalangan pelabur.

Sementara itu, RAM Ratings pula menyifatkan langkah kelonggaran bayaran balik pinjaman yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal minggu ini akan mengekalkan kestabilan sistem perbankan berikutan kesan ketara yang disebabkan pandemik COVID-19.

Bagi minggu baru berakhir, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.3280/3350 daripada 4.3947/4012 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Pada asas Jumaat-ke-Jumaat, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura pada 3.0175/0234 daripada 3.0303/0369 sebelumnya dan meningkat kepada 3.9754/9829 daripada 3.9811/9898 berbanding yen Jepun.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.7608/7702 daripada 4.7204/7303 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2841/2943 daripada 5.1926/2042 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini