Ringgit terus susut, cecah RM4.38



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka dengan meneruskan aliran penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kebimbangan mengenai COVID-19 yang telah mengekang minat pedagang untuk mengambil risiko, kata peniaga.

Pada 9.00 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3800/3850 berbanding dolar AS daripada 4.3737/3844 semasa ditutup pada Rabu.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan jika langkah itu gagal menghalang penyebaran COVID-19 di negara ini.

Perintah selama dua minggu itu bermula semalam dan berakhir pada 31 Mac 2020.

Muhyiddin dalam ucapan yang disiarkan secara langsung malam semalam berkata: "Kerajaan berharap selepas tempoh dua minggu ini, mereka yang mempunyai simptom dapat diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas COVID-19.”

Sehingga semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 790 kes berkaitan virus itu.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0276/0327 daripada 3.0446/0664 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0246/0303 daripada 4.0759/0898 semasa ditutup semalam.

Unit tempatan naik berbanding pound kepada 5.0633/0708 daripada 5.2514/2570 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7751/7823 daripada 4.7938/8081.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini