COVID-19 - Tambah nilai kekayaan Jeff Bezos - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

COVID-19 - Tambah nilai kekayaan Jeff Bezos


SAN FRANCISCO: Kekayaan individu paling kaya di dunia semakin meningkat walaupun dunia berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Dengan kebanyakan penduduk dunia ketika ini hanya duduk di rumah, masa yang diluangkan untuk membeli barangan dalam talian semakin meningkat.

Ia menyebabkan nilai kekayaan pengasas Amazon.com, Jeff Bezos meningkat.

Saham syarikat itu juga naik 5.3 peratus hari ini, menjadikan nilai bersih kekayaan Bezos melonjak kepada AS$138.5 bilion (RM600 bilion).

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan ekonomi global hampir terhenti dan berpotensi menyebabkan 17 juta penduduk Amerika Syarikat (AS) menjadi penganggur dalam jangka masa tiga minggu.

JPMorgan Chase & Co. dan Wells Fargo & Co. memberi isyarat akan berlaku kerugian pinjaman disebabkan oleh pemberhentian pekerjaan yang belum pernah terjadi sebelum ini dengan kebanyakannya dalam sektor runcit.

Namun, Bezos dan peserta lain dalam industri teknologi serta ekuiti swasta ketika ini tidak terganggu, dibantu oleh usaha rangsangan yang belum pernah terjadi sebelumnya oleh pemerintah dan bank pusat.

Walaupun nilai bersih gabungan 500 orang terkaya di dunia telah merosot kepada AS$553 bilion (RM2.4 trilion) pada tahun ini, ia meningkat 20 peratus dari paras terendah pada 23 Mac, menurut Indeks Billionaires Bloomberg

“Jurang kekayaan, hanya akan bertambah luas dengan apa yang sedang berlaku sekarang,” kata Ketua Strategi Pasaran Miller Tabak + Co, Matt Maley.

“Orang yang benar-benar kaya tidak perlu risau. Ya, kekayaan mereka bekurangan, tetapi tidak perlu risau mengenai makanan di atas meja atau perbelanjaan rumah.

“Bukan hanya jutawan, malah korporat telah menjadi pembeli saham syarikat mereka, menunjukkan keyakinan bahawa krisis akan berlalu, walaupun pemimpin negara ketika ini sedang berdebat mengenai situasi akan datang,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini