Harga minyak mentah AS$10 setong tidak mustahil - penganalisis



KUALA LUMPUR: Penurunan harga minyak mentah dunia ke paras AS$10 setong adalah tidak mustahil jika simpanan komoditi itu mencapai kapasiti maksimumnya, demikian kata penganalisis.

Perang harga minyak antara Arab Saudi dan Russia serta pengurangan mendadak permintaan susulan sekatan pergerakan global bagi membendung penularan pandemik COVID-19 memberi tekanan kepada harga minyak untuk terus diniagakan rendah.

Pada pagi ini, harga kontrak penanda aras minyak mentah antarabangsa, Brent naik 2.5 peratus kepada AS$32.69 setong, sementara kontrak penanda aras minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) naik 5.7 peratus kepada AS$24.98 setong pada dagangan pagi di Asia.

Ahli Ekonomi OCBC Bank, Howie Lee, berkata apa yang berlaku kini adalah sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini, yang mana ia mungkin menghasilkan sesuatu di luar jangkaan.

Beliau berkata, sekatan pergerakan di bandar utama seluruh dunia tidak pernah terlintas pada awal tahun ini, tetapi China dan Amerika Syarikat (AS) melaksanakannya pada suku pertama 2020.

“Tidak ada sesiapa yang terfikir harga minyak boleh jatuh 24 peratus dalam sehari, tetapi keadaan itu sudah berlaku pada bulan lalu. Jangkaan kami harga minyak AS$30 setong, yang mana ketika itu kami fikir peluang ia mencecah paras itu sangat rendah, namun ia sudah dilepasi.

“Keadaan paling teruk mungkin belum menjelma lagi. Apabila simpanan global mencapai kapasiti maksimum, satu lagi gelombang jualan akan berlaku. Apabila keadaan itu berlaku, harga minyak pada paras AS$10 setong pun akan dilihat mahal,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Lee berkata, pasaran minyak berdepan “kiamat” memandangkan pengurangan permintaan dan lebihan bekalan memberi tekanan kepada harga minyak untuk kembali ke paras selesa sebelum ini.

Beliau berkata, kedua-dua kontrak utama minyak mentah, Brent dan WTI berada pada paras kurang separuh daripada paras yang dicatatkan pada awal Mac 2020.

“Dengan pemulihan ekonomi bentuk “V” belum lagi kelihatan, jangkaan kesan pengurangan permintaan akan berterusan lebih lama pada masa depan.

“Perang harga Arab Saudi-Russia mungkin menyumbang kejatuhan harga pada 9 Mac lalu, tetapi pemacu sebenar penurunan harga ketika ini adalah permintaan,” katanya.

Lee berkata, harga minyak agak sukar untuk kembali ke paras sebelum krisis meskipun Arab Saudi dan Russia kembali bekerjasama dan melaksanakan pengurangan pengeluaran, yang mana langkah itu hanya memberi sokongan sementara kepada pasaran.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini