Harga minyak rendah jejas nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak rendah jejas nilai ringgit


KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah yang rendah akan memberi tekanan kepada pergerakan ringgit dalam tempoh terdekat dengan ia diunjurkan didagangkan antara RM4.3482 dan RM4.4108 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

AmBank Research berkata, tumpuan pasaran tukaran asing ketika ini adalah terhadap harga minyak berikutan kemudahan penyimpanan minyak mencapai paras hadnya memandangkan stok simpanan minyak terus meningkat berikutan kekurangan permintaan susulan pandemik COVID-19.

Ia berkata, persetujuan yang dicapai Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya untuk mengurangkan output 10 juta tong sehari akan memberi kesan kecil kepada penyusutan permintaan yang mana lebihan bekalan berlaku.

“Trend semasa kejatuhan harga minyak adalah sejajar dengan pandangan kami. Jika situasi lebih teruk, kami jangka harga minyak berlegar sekitar AS$10 setong.

“Jika keadaan tidak seteruk seperti dijangkakan, harga purata bagi Brent ialah ASS$30-35 setong, sementara pandangan konservatif kami ialah AS$20-25 setong bagi 2020,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias, berkata impak kejatuhan harga minyak terhadap pergerakan ringgit adalah bergantung kepada berapa lama tempoh penurunan harga minyak.

Beliau menjelaskan, harga minyak mentah yang kekal pada paras rendah secara umumnya akan memberi impak negatif kepada prestasi mata wang tempatan.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan semula harga minyak secara pantas bagaimanapun tidak akan memberi impak nyata kepada ringgit.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata harga minyak yang rendah ketika ini memberi tekanan jangka pendek kepada ringgit.

Namun begitu, beliau berkata, pihaknya mengunjurkan ringgit akan berlegar antara RM4.15-RM4.30 berbanding satu dolar AS pada suku kedua dan ketiga tahun ini.

“Bagi tinjauan ringgit untuk keseluruhan 2020, kami kekal dengan pendirian bahawa ringgit pada paras RM3.97 hingga RM4.30 (berbanding dolar AS) apabila harga minyak kembali stabil dan dolar AS berdepan penyusutan,” katanya kepada BH mengulas mengenai prestasi ringgit berikutan harga minyak yang rendah.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini