akan rendah berbanding mata wang utama lain Ringgit kembali melantun untuk ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

akan rendah berbanding mata wang utama lain Ringgit kembali melantun untuk ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit melantun semula untuk ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh keyakinan tinggi terhadap pasaran serantau berikutan pemulihan ekonomi serta potensi vaksin COVID-19.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.3440/3510 berbanding paras penutup 4.3660/3740 pada Isnin.

Seorang penganalisis berkata, ini menandakan berakhirnya penurunan lima hari ringgit berbanding dolar AS.

Unit tempatan itu meningkat 0.5 peratus apabila pasaran tempatan mula meningkat susulan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Orang kini sudah mula kembali bekerja dan pihak berkuasa kesihatan berjaya membendung bilangan kas tempatan COVID-19.

"Ini membawa kepada keyakinan pasaran yang tinggi terhadap ekonomi tempatan," katanya.

Malaysia hari ini melaporkan 37 kes baharu COVID-19, 31 pulih dan satu kematian.

Di pasaran serantau, beliau berkata baht Thai, won Korea Selatan dan dolar Taiwan juga mengukuh berbanding dolar AS sejajar dengan kebanyakan mata wang Asia selepas data menggalakkan daripada ujian peringkat awal bagi vaksin COVID-19 oleh Moderna Inc.

Menurut laporan Reuters, won Korea Selatan naik 0.5 peratus berbanding dolar AS, baht Thai mengukuh 0.4 peratus dan dolar Taiwan meningkat 0.15 peratus.

Semalam dilaporkan bahawa data awal menunjukkan ujian vaksin COVID-19 pengeluar ubatan Moderna yang dijalankan ke atas sekumpulan kecil sukarelawan yang sihat kelihatan selamat dan menjanjikan prospek yang baik.

Berbanding mata wang utama lain ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0648/0706 daripada 3.0606/0667 pada Isnin tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0387/0456 daripada 4.0686/0768.

Manakala, ringgit tidak berubah berbanding euro pada 4.7179/7283 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.3166/3269 daripada 5.2925/2039 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini