Ringgit ditutup lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi hari ini disokong oleh pengumuman pengurangan kadar dasar semalaman Bank Negara Malaysia (BNM) dengan saham kewangan tempatan mendapat manfaat daripadanya, kata seorang peniaga.

Jawatankuasa Dasar Semalaman bank pusat dalam mesyuarat ketiganya bagi tahun ini memutuskan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus, paras OPR terendah dalam tempoh 10 tahun sejak Februari 2010.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.3030/3100 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada paras penutup 4.3100/3190 pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata keputusan pengurangan kadar BNM itu telah dijangkakan tetapi masih dilihat sebagai positif bagi sentimen risiko kerana ia menyediakan hala tuju dasar apabila perniagaan dibuka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik.

"Tetapi peralihan positif hari ini adalah berkaitan dengan harga penanda aras minyak mentah dunia Brent yang terus meningkat, yang disokong oleh pembukaan semula ekonomi-ekonomi utama di seluruh dunia," katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah Brent meningkat 7.65 peratus kepada AS$29.28 setong hari ini.

Seorang penganalisis pasaran lain berkata, ringgit meningkat berbanding dolar AS sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang Asia apabila sekatan pergerakan di beberapa negara di dunia telah ditarik balik berikutan penurunan kadar kes dijangkiti COVID-19 yang meningkatkan sentimen risiko dan mengimbangi kebimbangan tercetusnya semula ketegangan perdagangan antara AS dan China.

Sementara itu, ringgit ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0384/0440 daripada paras penutup 3.0427/0501 Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 4.0268/0337 daripada 4.0363/0467.

Ringgit menokok berbanding euro kepada 4.6679/6772 daripada 4.7138/7254 dan menambah berbanding pound Britain kepada 5.3542/3642 daripada 5.3603/3733.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini