Ringgit teruskan momentum peningkatan


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum kenaikan pada Jumaat lalu untuk diniagakan tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal hari ini didorong minat belian baharu.

Pada 9.08 pagi, ringgit berada pada 4.2400/2500 berbanding dolar AS daripada 4.2640/2700 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata pasaran memberi respons positif terhadap pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad.

"Mata wang tempatan dijangka mencatatkan prestasi baik dalam beberapa sesi minggu ini.

"Susulan sentimen risiko semakin baik, turun naik ketara pasaran ekuiti dan mata wang kian berkurangan, pelabur yang memburu hasil akan memastikan semua ini seiring dengan dagangan di seluruh rantau ini, dengan itu ringgit boleh terus mencatatkan pergerakan meningkat dalam konteks sentimen bertambah baik terhadap mata wang serantau," katanya.

Ringgit juga meningkat semula memandangkan harga minyak mentah naik melebihi paras AS$40 setong disokong oleh keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan lain-lain termasuk Rusia (OPEC+) untuk meneruskan pengurangan pengeluaran.

Ketika ini, penanda aras minyak mentah antarabangsa, Brent berada pada AS$41.34 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0523/0606 daripada 3.0604/0658 ketika ditutup pada Jumaat lalu dan naik berbanding euro kepada 4.7895/8025 daripada 4.8328/8409.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 3.9234/9334 daripada 3.9019/9085 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3954/4098 daripada 5.3859/3947.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini