Ringgit ditutup lebih tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan kenaikan harga minyak akibat bekalannya yang terhad di pasaran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan disebut harga pada 4.2750/2800 berbanding dolar AS daripada 4.2840/2900 pada Jumaat lalu.

Harga minyak mentah Brent meningkat 1.40 peratus kepada AS$43.40 setong.

Dalam pada itu, peserta pasaran juga menunggu keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) khususnya membabitkan kadar dasar semalaman (OPR) yang dijangka diumumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, esok.

Namun, pasaran memberi isyarat yang bercampur-baur mengenai keputusan membabitkan OPR tersebut.

"Saya tidak menjangkakan BNM akan membuat sebarang penurunan OPR esok dan sebaliknya akan menunggu pengumuman data penting lain seperti Indeks Pengeluaran Industri oleh Jabatan Perangkaan selain Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua yang dijangka diumumkan pada Ogos bagi mendapatkan pandangan lebih jelas," kata Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes kepada Bernama.

Awal hari ini, Kenanga Research berkata, ringgit bakal berdepan tekanan minggu ini berikutan peningkatan sentimen mengelak risiko susulan kenaikan kes jangkitan COVID-19 manakala pasaran menjangkakan BNM akan menurunkan OPR pada mesyuarat terbaharunya.

Kenanga juga menjangkakan BNM akan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi bagi memperkukuh langkah-langkah fiskal demi menyokong pemulihan ekonomi.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang asing.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0698/0745 daripada 3.0718/0766 pada Jumaat lepas dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.9745/9803 daripada 3.9855/9918.

Unit tempatan itu bagaimana pun susut berbanding pound Britain kepada 5.34203500 daripada 5.3332/3423 serta rendah berbanding euro kepada 4.8273/8347 daripada 4.8101/8185. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini