Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), seiring dengan prestasi mata wang negara sedang pesat membangun lainnya selain dipacu oleh peningkatan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit ditutup pada paras 4.0200/0250 berbanding dolar US daripada 4.0250/0300 yang dicatat pada Isnin.

Menurut peniaga itu, harga minyak mentah yang lebih kukuh dan menyaksikan Brent iaitu penanda aras minyak mentah global, terus meningkat melebihi paras US$79 setong setakat jam 6.19 petang hari ini, sekali gus turut memacu sentimen terhadap ringgit.

"Ini disebabkan sebarang kenaikan harga minyak mentah akan turut meningkatkan pendapatan minyak dan gas negara ini," katanya

Namun, tumpuan seterusnya adalah terhadap hasil mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada esok (11 Julai, 2018), khususnya keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman.

Dalam pada itu, sewaktu ditutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9613/9665 daripada 2.9731/9772 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7118/7189 daripada 4.7366/7437 pada Isnin.

Ia turut mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3233/3319 daripada 5.3681/3756 dan meningkat berbanding yen kepada 3.6128/6183 daripada 3.6439/6487, sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini