Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS bagi hari kedua berturut-turut apabila dolar AS menyusut susulan tempoh bagi pengenaaan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat ke atas import barangan China semakin menghampiri.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.0410/0450 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0440/0480 pada Rabu.

Seorang peniaga berkata sentimen pelabur berhati-hati memandangkan esok (Jumaat) menandakan tarikh bagi AS untuk mengenakan pusingan pertama tarif ke atas import barangan China bernilai AS$34 bilion.

"Pelabur bimbang tindakan itu akan lebih memburuk membawa kepada perang perdagangan yang lebih besar," katanya.

Selain itu, pengumuman minit mesyuarat terbaharu Rizab Persekutuan AS yang dijadualkan pada lewat hari ini, serta data gaji bukan ladang AS pada Jumaat juga menyebabkan pelabur tidak memasuki pasaran.

Pada sesi penutup, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9611/9645 daripada 2.9616/9651 dan naik berbanding yen kepada 3.6504/6547 daripada 3.6607/6650 pada Rabu.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.3527/3600 daripada 5.3417/3486 dan turun berbanding euro kepada 4.7223/7286 daripada 4.7048/7111.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini