Ringgit diunjur 4.00-4.10 berbanding dolar AS pada akhir 2018 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit diunjur 4.00-4.10 berbanding dolar AS pada akhir 2018



KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur didagangkan antara 4.00 dan 4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini susulan dasar dan hala tuju yang lebih jelas selepas pembentangan Belanjawan 2019, demikian menurut Affin Hwang Capital Research.

Ketua Ekonomi Affin Hwang Investment Bank, Alan Tan, berkata lebihan akaun semasa dijangka kekal stabil dan terus menjadi asas ekonomi di Malaysia sejajar dengan paras rizab antarabangsa yang sihat.

“Kami menjangkakan ringgit akan meningkat secara perlahan berbanding dolar AS dengan mengukuh kepada 4.00 dan 4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini dan terus didagangkan tinggi pada 3.80 dan 3.90 pada akhir 2019.

“Kami percaya terdapat banyak keraguan oleh pelabur mengenai prospek ekonomi Malaysia dan prestasi ringgit. Kami percaya pertumbuhan ekonomi akan dapat dikekalkan pada paras yang lebih tinggi antara 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2019 berbanding 5.0 peratus pada 2018,” katanya ketika taklimat media mengenai Belanjawan 2019 dan Prospek Ekonomi menjelang tahun hadapan di sini, hari ini.

Tan berkata, Belanjawan 2019 pada 2 November ini diharap mampu memberi gambaran lebih jelas kepada pelabur, walaupun belanjawan kali ini dilihat memerlukan lebih banyak penjimatan dan pengenalan cukai baharu.

“Ini kerana keseimbangan perlu diletakkan antara keutamaan pertumbuhan ekonomi yang mana perlu untuk meningkatkan hasil menerusi cukai langsung dan mengekalkan fiskal yang berhemah,” katanya .

Sementara itu, Tan berpendapat kerajaan akan menyemak semula sasaran defisit fiskalnya kepada antara 3.6 peratus dan 3.8 peratus tahun ini manakala 3.3 peratus dan 3.5 peratus pada 2019.

Katanya, ia selari dengan sasaran defisit fiskal kerajaan iaitu 3.0 peratus pada 2020.

“Bagaimanapun, defisit yang lebih tinggi itu mungkin sementara kerana kerajaan telah menyatakan bahawa ia masih komited terhadap penyatuan fiskal dalam jangka panjang.

“Oleh itu, penarafan terhadap Malaysia harus stabil, sekali gus menghalang sebarang peningkatan aliran keluar modal,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini