Ringgit teruskan aliran menurun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan aliran menurun



KUALA LUMPUR: Ringgit terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketujuh berturut-turut hari ini, seiring dengan prestasi negara sedang pesat membangun lain ketika dolar AS kekal untuk mencatat peningkatan, kata peniaga.

Pada jam 6 petang ini, ringgit berada di 4.1730/1770 berbanding dolar AS daripada 4.1680/1710 pada Khamis.

Seorang peniaga berkata ringgit turut ditekan oleh risiko jualan di pasaran yang berlanjutan, khususnya pada akhir minggu.

Ketua Perdagangan OANDA bagi Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata dolar AS kekal kukuh menjelang pengumuman angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar AS malam ini selain disokong oleh kenyataan Naib Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Richard Clarida yang mengesahkan lagi prospek memberangsangkan bagi negara ekonomi terbesar dunia itu.

“Tumpuan turut beralih kepada prestasi yuan China berbanding dolar AS hari ini apabila kedua-dua mata wang itu melepasi paras 6.67 yang memberi kesan negatif terhadap semua mata wang ASEAN.

“Sementara itu, penurunan harga minyak mentah yang masuk minggu ketiga berturut-turut, juga memberi kesan terhadap ringgit,” katanya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama lainnya, kecuali yen Jepun.

Unit tempatan itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0154/0189 daripada 3.0214/0242 pada Khamis manakala berbanding euro, ringgit mengukuh kepada 4.7384/7438 daripada 4.7549/7595.

Ringgit turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3419/3495 daripada 5.3780/3835 pada Khamis namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.7282/7321 daripada 3.7098/7135.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini