Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan keuntungan minggu lalu untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, selepas dirangsang oleh pembelian sederhana, berikutan peralihan minat pelabur ke arah mata wang baru muncul termasuk ringgit, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit berada pada paras 4.1860/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1920/1960 yang direkodkan pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Strategi Pasaran FXTM, Hussein Sayed, berkata ada bukti jelas bahawa ekonomi global masih perlahan, menyebabkan pelabur mengambil langkah berhati-hati ke arah sektor bertahan dan ia memang wajar bagi membawa penilaian saham kepada tahap yang lebih realistik.

“Khamis ini, pelabur akan mendapat petunjuk mengenai tahap keprihatinan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kejatuhan harga aset selepas mereka mengumumkan minit mesyuarat November.

“Jika minit mesyuarat ini tidak menunjukkan sebarang reaksi Fed, pasaran akan dapat mengukur kebimbangannya ke atas harga aset yang semakin menjunam dengan lebih ramai ahli di bawah Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan akan bercakap pada minggu ini termasuk Pengerusi Fed, Jay Powell,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berbanding dengan sekumpulan mata wang baru muncul yang lain, ringgit didagangkan lebih tinggi.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0484/0530 daripada 3.0489/0530 dan naik berbanding euro kepada 4.7603/7665 daripada 4.7680/7730.

Sementara itu, berbanding yen, ia mengukuh kepada 3.6969/7008 daripada 3.7150/7189 yang dicatatkan pada Jumaat lepas dan menokok kepada 5.3727/3791 daripada 5.3855/3927 apabila dibandingkan dengan pound British.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini