Ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutan yang dialaminya semalam untuk dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan harga minyak mentah yang lemah.
Pada jam 9.01 pagi, ringgit diniagakan pada paras 4.1550/1600 berbanding dolar AS daripada paras 4.1525/1555 yang dicatatkan semalam.
Seorang peniaga berkata, pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) di Austria hari ini.
“Ramai penganalisis menjangkakan mesyuarat itu akan berakhir dengan keputusan untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah. Namun, segelintir pelabur lain meragui unjuran itu dan ini memberi tekanan terhadap ringgit berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak dan gas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perdagangan OANDA bagi Asia Pasifik, Stephen Innes menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam dagangan lebih kecil kerana akan dipengaruhi dengan perkembangan di OPEC.
Sewaktu dibuka pagi ini, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih rendah berbanding kelompok mata wang utama lain, kecuali dolar Singapura.
Ia lemah berbanding yen kepada 3.6802/6857 daripada 3.6754/6784 pada Rabu, susut berbanding euro kepada 4.7151/7224 daripada 4.7077/7115 dan turun berbanding pound kepada 5.2852/2932 daripada 5.2832/2891.
Bagaimanapun, berbanding dengan dolar Singapura, ringgit naik kepada 3.0357/0400 daripada paras 3.0366/0392 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini