Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan permintaan terhadap dolar berkurangan, didorong oleh data perdagangan 2018 yang positif dan menjelang keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada paras 4.1050/1100 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1140 pada Selasa.

Jumlah dagangan Malaysia pada 2018 kekal berdaya maju, meningkat 5.9 peratus kepada RM1.876 trilion daripada RM1.771 trilion pada 2017, dipacu oleh pertumbuhan eksport lebih kukuh daripada jangkaan bagi tahun semakan.

Di sebalik persekitaran global yang tidak menentu, eksport meningkat 6.7 peratus, tahun ke tahun, untuk mencecah RM998.01 bilion manakala import meningkat 4.9 peratus kepada RM877.74 bilion.

Sementara itu, Rizab Persekutuan dijangka mengekalkan kadar faedah semasa, selepas menaikkannya sebanyak empat kali pada tahun lalu.

Berbanding kebanyakan mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan lebih tinggi.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0385/0433 daripada 3.0397/0429 pada Selasa, melonjak berbanding pound British kepada 5.3804/3886 daripada 5.4108/4177 semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.6920/6998 daripada 4.7018/7068.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.7530/7586 daripada 3.7548/7595 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini