Ringgit terus susut berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus susut berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan penyusutan pada pagi ini untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan ketidaktentuan ekonomi luaran yang menyaksikan pelabur beralih kepada mata wang lebih selamat, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.1350/1390 berbanding dolar AS iaitu susut 50 mata asas daripada 4.1300/1350 sewaktu ditutup pada Isnin.

Seorang peniaga berkata secara teknikalnya, unit tempatan itu berada dalam kedudukan terlebih jual dan dijangka menyaksikan aktiviti peningkatan semula pada masa depan.

Beliau berkata, para pedagangan juga masih bersikap berhati-hati terhadap perkembangan ekonomi luaran semasa termasuk data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan China yang jatuh di bawah 50 mata pada Disember 2018 serta langkah penutupan membabitkan agensi kerajaan Amerika Syarikat.

"Mungkin kalangan pelabur asing ini mahu melihat nilai ringgit meningkat selepas menyaksikan aliran keluar dana pada 2018. Bagaimanapun, sukar bagi ringgit untuk terus mengukuh berikutan perkembangan faktor luaran yang tidak menentu," katanya.

Sementara itu, ringgit juga kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2473/2540 daripada 5.2600/2684 pada Isnin namun susut berbanding euro kepada 4.7275/7334 daripada 4.7227/7300, sebelum ini.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0331/0371 daripada 3.0310/0358 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.7950/7997 daripada 3.7658/7714 pada Isnin. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini