Ringgit dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, disokong oleh pertumbuhan domestik stabil, pembaharuan dasar secara berperingkat dan pengekalan lebihan akaun semasa.

Pakar Ekonomi Kanan United Overseas Bank Malaysia (UOB Malaysia) Julia Goh berkata ringgit mungkin berada pada julat antara 4.05 dan 4.10 berbanding dolar AS dalam waktu terdekat sebelum seterusnya bergerak kepada 4.15 dan 4.18 masing-masing menjelang pertengahan dan hujung 2019, berikutan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menyambung kenaikan kadarnya pada Jun dan Disember.

“Ringgit kekal di bawah nilai berbanding mata wang serantau dan aset dalam denominasi ringgit mungkin menawarkan perlindungan selamat berikutan pilihan raya akan diadakan di rantau itu pada separuh pertama 2019,” katanya dalam nota.

Mengulas perbincangan perdagangan AS-China, Goh berkata asas bank itu adalah untuk melanjutkan tempoh rundingan antara dua gergasi ekonomi itu dengan status quoa tarif dikekalkan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga minyak lebih tinggi, dengan penanda aras antarabangsa bagi minyak mentah Brent kini melebihi AS$65 setong, juga akan memberi manfaat kepada prestasi ringgit.

Pada minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan pada kebanyakan masa diniagakan lebih rendah berbanding dolar US didorong oleh kebimbangan dengan hasil perbincangan perdagangan AS-China.

Bagaimanapun, ringgit mampu meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan kepada 4.0650/0690 berbanding dolar AS pada Rabu selepas Presiden Donald Trump mengulas bahawa AS mungkin melanjutkan tempoh perdamaian 90 hari dengan China.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.0870/0900 berbanding dolar AS daripada 4.0670/0720 sebelumnya.

Ia juga menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0082/0116 daripada 2.9988/9029 dan turun berbanding euro kepada 4.6110/6152 daripada 4.6059/6124.

Bagaimanapun, ringgit naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.7013/7050 daripada 3.7023/7079 dan meningkat berbanding pound British kepada 5.2354/2409 daripada 5.2590/2667 Jumaat lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini