Ringgit dijangka tidak banyak berubah minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka tidak banyak berubah minggu depan



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangkakan tidak banyak berubah pada minggu pertama Mac, didagangkan pada paras 4.06 hingga 4.08 berbanding dolar AS, kata penganalisis penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga.

Beliau berkata, pelabur akan melihat data perdagangan luar Januari pada 4 Mac dan keputusan mengenai dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia pada 5 Mac.

"Memandangkan inflasi domestik berkemungkinan dapat diurus pada 2019, serta daya tahan dalam pertumbuhan ekonomi dan penggunaan domestik, bank pusat Malaysia dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tahun ini," katanya kepada Bernama.

Lukman berkata angka eksport dan import Januari Malaysia akan dipantau rapat berdasarkan latar belakang pertumbuhan global.

"Indeks Pengurus Pembelian Pengilangan China bagi Februari terus merosot, menjurus kepada pertumbuhan ekonomi yang sederhana dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

"Oleh itu, ekonomi kecil dan terbuka seperti Malaysia mungkin merasakan kesan kelembapan China menerusi saluran perdagangan," katanya.

Bagaimanapun, katanya kejutan positif luar biasa membabitkan angka eksport Malaysia pada Disember, mampu meningkatkan ringgit dalam tempoh terdekat.

"Perkembangan positif yang signifikan dalam rundingan perdagangan AS-China juga boleh membawa ringgit di bawah paras 4.06," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit ditutup rendah sejajar dengan kebanyakan mata wang ekonomi pesat membangun Asia, ekoran banyak pelabur enggan memasuki pasaran susulan ketidaktentuan dalam rundingan perdagangan AS-China.

Dolar AS terus mengukuh berbanding pesaing utamanya pada Jumaat, disokong oleh kenaikan dalam pulangan Perbendaharaan AS selepas data menunjukkan bahawa ekonomi AS meningkat 2.6 peratus pada suku keempat.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.0720/0770 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0810 pada minggu sebelumnya.

Ia juga meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6383/6438 daripada 3.6770/6825 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0105/0146 daripada 3.0119/0165 Jumaat lalu.

Unit tempatan bagaimanapun lemah berbanding euro kepada 4.6258/6319 daripada 4.6214/6287 dan rendah berbanding pound British kepada 5.3921/3000 daripada 5.3065/3135.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini