Ringgit teruskan kecenderungan meningkat - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit teruskan kecenderungan meningkat



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kecenderungan meningkatnya untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini bagi hari ketiga berturut-turut, menjelang kenyataan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) selama dua hari malam ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.0650/0690 berbanding dolar AS daripada 4.0750/0790 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dolar AS pada umumnya, bergerak dengan kecenderungan yang lemah dengan peserta pasaran menjangka kenyataan FOMC memihak kepada kadar faedah rendah.

“Pada dasarnya, pasaran forex mengenai Fed pada minggu ini. Pasaran akan meneliti kenyataan FOMC dan bagaimana kadar dana Fed akan berubah.

“Secara ringkasnya, ia akan meredakan jangkaan bahawa Fed akhirnya akan mengurangkan kadarnya pada masa akan datang, berdasarkan prospek pertumbuhan yang lemah seperti dicerminkan oleh Indeks Pengurus Pembelian," katanya.

Beliau berkata, Fed juga akan mengeluarkan unjuran ekonomi mereka yang terkini lewat hari ini, yang akan menjadi panduan kepada prospek kadar dana Fed.

“Kami percaya Fed akan menyemak semula unjuran kadar pertumbuhan dan inflasi mereka. Jika itu berlaku, ia akan meningkatkan kes kepada penurunan kadar,” katanya kepada Bernama.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding yen Jepun kepada 3.6441/6487 daripada 3.6613/6659 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6130/6187 daripada 4.6268/6321 pada Selasa.

Ringgit turut menokok berbanding pound British kepada 5.3756/3829 daripada 5.4079/4149 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0080/0121 daripada 3.0170/0204 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini