Ringgit mendatar - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mendatar



KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan hari ini dengan dolar kekal kukuh ketika mana pasaran menanti hasil mesyuarat dasar dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) hari ini.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1250/1290 daripada 4.1230/1270 Isnin.

Pasaran ditutup semalam sempena pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sementara Rizab Persekutuan nampaknya hampir pasti membuat pengurangan 25 mata asas dalam kadar faedah, kenyataan yang disertakan selepas keputusan itu malam ini akan diteliti.

"Terdapat peluang Rizab Persekutuan mungkin mahu mengamalkan langkah yang sangat berhati-hati unutk mengurangkan kadar faedah apabila ekonomi, setakat ini, berjalan dengan agak baik.

"Jawatankuasa itu mahu menunggu lebih banyak bukti untuk membenarkan potongan agresif. Ini bermakna, ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar AS dalam masa terdekat, bergantung mesyuarat FOMC," katanya kepada BERNAMA.

Sehubungan itu, ringgit dijangka berlegar sekitar paras rintangan semasa pada RM4.1287 dengan paras rintangan seterusnya ialah RM4.146 berbanding dolar AS, katanya.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali pound British.

Ia lemah berbanding dolar Singapura pada 3.0085/0125 daripada 3.0062/0096 Isnin dan menyusut nilainya berbanding euro pada 4.6006/6055 daripada 4.5860/5913.

Ringgit juga susut berbanding yen kepada 3.7966/8010 daripada 3.7951/7995 tetapi meningkat berbanding pound British kepada 5.0127/0180 daripada 5.0849/0915.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini