Ringgit dijangka catat dagangan berhati-hati minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka catat dagangan berhati-hati minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka menyaksikan dagangan lebih berhati-hati pada minggu depan dengan pelabur terus memantau rapat perkembangan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Selasa, menurut peniaga.

Penganalisis pasaran FXTM Han Tan berkata mesyuarat itu akan menjadikan dolar Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk mendapat perhatian memandangkan pelabur menjangkakan kadar faedah AS diturunkan sebanyak 25 mata untuk kali ketiga berturut-turut.

Beliau berkata pasaran telah menjangka keputusan dasar bagi mesyuarat FOMC pada Disember dan seterusnya dan isyarat daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Jerome Powell untuk mengurangkan kadar faedah yang boleh mengukuhkan lagi dolar AS.

“Pelabur juga akan meneliti data mengenai keluaran dalam negara kasar Amerika Syarikat (AS) bagi suku ketiga dan data pembayaran gaji bukan pertanian AS pada Oktober bagi memastikan pergerakan dolar AS yang seterusnya.

“Sekiranya Fed tidak lagi menggambarkan ia tidak terburu-buru untuk menurunkan lagi kadar faedah, ia boleh mendorong ringgit kepada paras 4.20 berbanding dolar AS.

“Minat risiko yang meningkat atau penurunan dolar AS yang ketara boleh mendorong ringgit berada pada bawah paras psikologi 4.18 dan boleh mencecah 4.16 dengan sokongan lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pasifik Jeffrey Halley menjangka ringgit didagangkan pada kadar 4.1700 kepada 4.1950 berbanding ringgit bagi jangka sederhana.

“Bagaimanapun, ini bergantung kepada keputusan mengenai kadar faedah FOMC AS minggu depan. Saya berpendirian, peluang bagi pengurangan kadar faedah adalah 50-50. Pengurangan itu seharusnya menjadi faktor kepada pengukuhan ringgit,” katanya.

Ketika mengakhiri dagangan pada minggu ini, ringgit tinggi sedikit berbanding dolar AS iaitu pada 4.1845/1875 berbanding 4.1850/1880 pada minggu lalu.

Unit tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama pada Jumaat.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0692/0725 daripada 3.0644/0670, namun menokok kepada 3.8506/8548 berbanding yen daripada 3.8518/8553.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6502/6552 daripada 4.6571/6621 dan bertambah berbanding pound kepada 5.3716/3768 daripada 5.3999/4042 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini