Jangka pergerakan ringgit 4.14 hingga 4.16 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Jangka pergerakan ringgit 4.14 hingga 4.16 berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka didagangkan dalam jajaran kecil minggu depan, bergerak dalam lingkungan 4.14 dan 4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), memandangkan rundingan perdagangan AS-China terus menguasai sentimen pasaran.

Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrade, Stephen Innes, berkata beliau menjangkakan sentimen ke atas ringgit akan bertambah baik, namun bergantung kepada perkembangan rundingan perdagangan berkenaan.

“Saya masih merasa optimistik sedikit (akan) minggu depan berikutan nada perbincangan perdagangan yang meyakinkan selepas penasihat ekonomi White House, Larry Kudlow dilaporkan berkata bahawa persetujuan fasa pertama hampir tercapai.

“Bagaimanapun, kita masih perlu mendengar pengumuman Presiden AS, Donald Trump mengenai kemungkinan penarikan balik tarif,” katanya.

Sementara itu, penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata minggu depan, peningkatan melepasi 4.16 berbanding dolar AS akan membawa tumpuan ke arah 4.19, manakala penurunan di bawah purata pergerakan 200 hari pada 4.14, akan membawa semula kepada paras 4.12.

“Ringgit kekal dipengaruhi oleh faktor luar, dengan perjanjian perdagangan AS-China masih tidak menentu disebabkan sentimen risiko global,” katanya sambil menambah bahawa minat terhadap risiko kekal sensitif terhadap sebarang perkembangan luar.

“Kesabaran pelabur akan diuji semasa menunggu berita mengenai masa dan lokasi pemeteraian perjanjian perdagangan AS-China, dengan butiran utama berpotensi mencetuskan kenaikan untuk mata wang Asia,” katanya.

Di samping itu, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bagi Oktober akan menjadi tumpuan, kerana para pelabur cuba menilai syarat-syarat yang boleh mendorong Fed untuk menentukan dasarnya sekali lagi.

Indeks harga pengguna bulan Oktober di Malaysia, yang akan dikeluarkan Rabu depan, dijangka turun satu peratus pada Oktober, lebih perlahan daripada 1.1 peratus pada September dan 1.5 peratus pada Ogos.

“Dengan Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi meningkat namun kekal sederhana pada 2020, ini menunjukkan bahawa bank pusat mungkin kurang tertekan oleh faktor tempatan dalam menyesuaikan pendirian dasarnya, dan pada masa yang sama terus berjaga-jaga terhadap tekanan luaran,” kata Tan.

Ringgit mengakhiri minggu ini lebih tinggi berbanding dolar AS pada 4.1515/1545 apabila para pelabur bertindak balas positif ke atas pertumbuhan suku ketiga (Q3) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang memenuhi jangkaan pasaran.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, nota tempatan lebih rendah berbanding dolar US pada 4.1310/1360 Jumaat lalu.

Unit tempatan juga rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0468/0501 daripada 3.0377/0418 dan berbanding yen kepada 3.8186/8217 daripada 3.7774/7830.

Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.5725/5762 daripada 4.5594/5666 dan rendah berbanding pound kepada 5.3430/3473 daripada 5.2906/2986.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini