Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan kebanyakan mata wang Asia sedang pesat membangun dalam persekitaran tahap ketidaktentuan yang meningkat dan kemungkinan berlaku kelewatan dalam perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1770/1800 berbanding dolar AS daripada 4.1700/1750 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mata wang tempatan susut sebanyak 0.1 peratus daripada ditutup pada Jumaat lalu berikutan isu mengenai rundingan perdagangan AS-China terus menjadi tumpuan.

Beliau berkata, janji China untuk mengenakan penalti ke atas pelanggaran Hak Harta Intelek memberi harapan rundingan perdagangan boleh menghasilkan keputusan yang baik, tetapi kelulusan rang undang-undang hak asasi manusia Hong Kong oleh Dewan Perwakilan AS dan Senat AS baru-baru ini, mendorong kepada kemungkinan halangan bagi perbincangan perdagangan itu.

“Bagaimanapun, pasaran tukaran asing terus bimbang mengenai perang perdagangan dan implikasinya kepada ekonomi global.

“Kita telah menyaksikan Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menyemak semula unjuran pertumbuhan global mereka bagi 2020 kepada 2.9 peratus daripada 3.0 peratus sebelum ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0603/0629 daripada 3.0590/0638 pada Jumaat lalu dan turun berbanding pound British kepada 5.3804/3847 daripada 5.3672/3753.

Unit tempatan naik berbanding yen kepada 3.8367/8405 daripada 3.8412/8469 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5993/6043 daripada 4.6116/6188.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini