Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS (Amerika Syarikat) hari ini ketika ketidaktentuan unit negara maju itu selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memberi petunjuk ia dijangka mengekalkan kadar faedah itu pada bulan selanjutnya.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1810/1850 berbanding dolar AS daripada 4.1770/1800 ketika ditutup semalam.

Penganalisis penyelidikan kanan FXTM, Lukman Otunuga, berkata dolar AS bergelut untuk mencari arah selepas Pengerusi Fed Jerome Powell membayangkan bahawa bank pusat Amerika Syarikat (AS) tidak akan mengurangkan kadar faedah itu dalam masa terdekat.

“Apabila Fed menangguhkan pelonggaran dasar monetari selanjutnya, dolar akan dipengaruhi oleh perkembangan perdagangan dan data ekonomi daripada AS.

“Ini bererti pelabur akan menumpukan perhatian kepada laporan Indeks Keyakinan Pengguna yang dijangka dikeluarkan pada Selasa.

“Selera kepada dolar AS dijangka menerima rangsangan sekiranya laporan itu melebihi jangkaan pasaran,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang kumpulan utama.

Unit mata wang tempatan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0596/0630 daripada 3.0603/0629 pada Isnin dan turut meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3784/3848 daripada 5.3804/3847.

Bagaimanapun, ia menyusut berbanding yen kepada 3.8372/8412 daripada 3.8367/8405 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6050/6098 daripada 4.5993/6043.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini