Hutang AS meningkat, defisit bajet lepasi AS$1 trilion - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Hutang AS meningkat, defisit bajet lepasi AS$1 trilion


WASHINGTON: Defisit bajet Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat melebihi AS$1 trilion tahun ini dan kekal di atas paras itu untuk sedekad apabila hutang kerajaan melonjak, kata Pejabat Belanjawan Kongres (CBO).

Disebabkan defisit yang besar itu, CBO berkata hutang AS akan meningkat kepada 98 peratus saiz ekonominya menjelang 2030, paras tertinggi sejak 1946, dan terus meningkat lebih tinggi berbanding sebelum ini kepada 180 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2050.

Susulan pakej pemotongan cukai besar oleh Presiden Donald Trump pada akhir 2017, defisitnya semakin meningkat, di sebalik janji pentadbiran untuk mengurangkan cukai kepada syarikat dan golongan kaya.

Jurang bajet berada sedikit di bawah paras AS$1 trilion tahun lalu, namun dijangka berada pada purata AS$1.3 trilion bermula 2021 hingga akhir dekad ini, demikian menurut unjuran terkini CBO.

Walaupun kadar faedah rendah AS mengurangkan kos hutang yang sekali gus membantu menurunkan unjuran defisit, CBO berkata, kombinasi peraturan baharu dan perubahan lain menyebabkan defisit meningkat.

“Jika peraturan semasa yang mengawal selia cukai dan perbelanjaan secara umumnya kekal tidak berubah, defisit persekutuan akan terus menjadi besar dari 2020 hingga 2020 dan seterusnya,” kata pejabat belanjawan itu.

Agensi itu mengunjurkan pertumbuhan ekonomi AS berada pada 2.2 peratus tahun ini, selepas diselaraskan inflasi.

Ia disokong sebahagian besarnya oleh pengukuhan berterusan perbelanjaan pengguna dan peningkatan dalam pelaburan tetap perniagaan.

Pertumbuhan KDNK dijangka berada pada purata 1.7 peratus dalam dekad ini, menurut unjuran terkini itu.

Trump bergantung kepada ekonomi yang kukuh sebagai senjata untuk memenangi penggal kedua dalam pilihan raya November ini, walaupun berdepan pendengaran awam pemecatan yang mungkin menyingkirkannya daripada jawatan presiden.

Namun, perang perdagangan yang dicetuskan Trump mengehadkan pelaburan dan menyebabkan ekonomi AS mencatatkan pertumbuhan yang stabil namun tidak mantap, berbanding yang diperlukan untuk mengurangkan defisit.

Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin terus menolak dakwaan bahawa potongan cukai 2017 menyebabkan defisit bajet yang tinggi.

“Namun, tiada persoalan bahawa kita perlu memperlahankan kadar perbelanjaan kerajaan kerana tidak boleh mengekalkan defisit meningkat pada paras seperti ini,” katanya minggu lalu, sambil turut menjanjikan lebih banyak pemotongan cukai, kali ini untuk rakyat kelas pertengahan.

Ahli Kongres Kentucky yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bajet, John Yarmuth, berkata unjuran CBO ‘mengesahkan’ bahawa dasar Trump gagal mewujudkan rangsangan kepada ekonomi seperti yang didakwanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini