KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion tentunya akan memberi sokongan dan mengelak penurunan mendadak ekonomi negara, namun kemelesetan teknikal khususnya pada separuh pertama tahun ini sukar dielakkan, kata penganalisis.
Ia berikutan penurunan mendadak permintaan dan gangguan rantaian bekalan yang berlaku pada peringkat global termasuk Malaysia berikutan langkah sekatan perjalanan dan kawalan pergerakan dilaksanakan kerajaan seluruh dunia bagi mengekang penularan pantas COVID-19 yang di luar jangkaan.
Malah, sebahagian ahli ekonomi berpendapat, Malaysia dijangka mencatat penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi keseluruhan tahun ini.
Turut memberi kesan negatif kepada negara adalah kejatuhan harga minyak mentah global yang menyaksikan penanda aras Brent susut ke paras AS$23 satu tong semalam.
Justeru, perkembangan yang sentiasa berubah-ubah itu dan lebih berat ke arah kesuraman mendorong penganalisis membuat semakan semula unjuran KDNK bagi 2020 terhadap negara ini.
Terdapat penganalisis mengunjurkan ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan negatif serendah -3.5 peratus bagi keseluruhan 2020 dan ada juga yang mengunjurkan ekonomi negara ini berkembang perlahan pada kadar 2.7 peratus.
Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto, berkata pihaknya melihat terdapat kemungkinan ekonomi berdepan pertumbuhan negatif meskipun dengan bantuan pakej rangsangan.
Beliau berkata, pihaknya membuat semakan semula unjuran kadar pertumbuhan bagi 2020 kepada sekitar antara -2.5 peratus sehingga 1.5 peratus, berbanding unjuran sebelum ini 1.7 peratus dan 4.2 peratus.
“Jika situasi penularan wabak tidak dapat dikawal dalam pasaran eksport utama seperti Amerika Syarikat (AS), zon Euro dan Jepun dalam minggu mendatang, unjuran yang berlegar pada kadar yang rendah akan berlaku,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Sementara itu, AffinHwang Capital juga mengunjurkan ekonomi Malaysia akan menguncup 3.5 peratus pada 2020 dengan jangkaan penularan berterusan pandemik COVID -19 pada peringkat global dan domestik.
Ia berkata, pertumbuhan KDNK benar mungkin dalam wilayah negatif pada suku pertama dan kedua 2020, berikutan penguncupan ketara dalam permintaan domestik dan eksport yang lemah.
“Permintaan domestik agregat benar dijangka menguncup 4.0 peratus untuk 2020 secara keseluruhan, berbanding pertumbuhan 4.3 peratus pada 2019.
“Memandangkan kesan negatif terhadap permintaan domestik dan gangguan rantaian bekalan global terhadap sektor pembuatan dan luaran Malaysia, kami mengurangkan unjuran pertumbuhan KDNK benar negara kepada -3.5 peratus bagi 2020 berbanding unjuran sebelum ini pertumbuhan 3.3 peratus,” katanya.
Kemelesetan terakhir di Malaysia berlaku pada 2009 apabila KDNK benar menguncup sebanyak 1.5 peratus.
Bagi Ketua Ahli Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass pula, beliau berpendapat pakej rangsangan PRIHATIN berjumlah RM250 bilion akan menyokong pertumbuhan dan menyediakan sokongan diperlukan untuk kecairan, penggunaan dan pekerjaan tanpa memberi tekanan kepada defisit fiskal.
Beliau tidak menafikan pendapatan negara akan terkesan oleh impak penularan COVID-19 dan perang harga minyak antara Russia serta Arab Saudi.
Katanya, dengan suntikan langsung RM22 bilion hingga RM25 bilion dan bakinya daripada langkah bukan fiskal adalah dijangkakan defisit fiskal untuk mencapai RM74 bilion atau 4.9 peratus daripada KDNK, yang mana lebih rendah berbanding 6.7 peratus dicatatkan pada 2009.
“Defisit fiskal di bawah 5.0 peratus daripada KDNK, tidak akan memberi tekanan kepada penarafan semula hutang kerajaan oleh agensi penarafan hutang antarabangsa yang kini "Stabil" pada A3/A-,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Dass berkata, pihaknya menjangka ekonomi Malaysia akan berdepan kemelesetan teknikal iaitu dua suku tahunan mencatatkan penguncupan.
Beliau berkata, dengan mengambil kira pertumbuhan negatif itu, ekonomi dijangka berkembang 0.4 peratus bagi 2020 meskipun kerajaan mengunjurkan pertumbuhan mendatar.
Namun, bagi MIDF Research, ia agak optimis dengan mengunjurkan ekonomi Malaysia akan terus berkembang pada 2020 pada kadar lebih sederhana sekitar 2.7 peratus.
Katanya, penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19, selain kadar faedah dan tekanan inflasi yang rendah.
“Kami melihat peningkatan semula perbelanjaan pengguna pada separuh kedua 2020 berikutan virus dijangka dapat ditangani. Selain itu, tekanan inflasi dijangka berlegar pada paras rendah berikutan harga bahan api yang murah dan pasaran pekerjaan kekal utuh dengan kadar pengangguran di bawah 4.0 peratus, menyokong penggunaan,” katanya.