Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini apabila mata wang Amerika Syarikat (AS) itu kekal kukuh di tengah-tengah pengelakan risiko yang menjejaskan permintaan terhadap mata wang berisiko.

Pada jam 9.05 pagi, ringgit berada pada 4.3630/3700 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3520/3620 pada Jumaat.

Hong Leong Bank Research dalam nota penyelidikannya berkata, kebimbangan terhadap isu kesihatan berkaitan COVID-19 dan keadaan ekonomi dunia terus memberi kesan kepada pasaran kewangan global manakala tindak balas kecemasan bank-bank pusat di seluruh dunia telah mencetuskan lebih banyak situasi panik berbanding tenang.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka diniagakan tidak menentu berbanding dolar AS pada minggu ini.

Beliau berkata, data terbaharu dari AS sangat lemah dengan data senarai gaji bukan ladang pada Mac turun mendadak sebanyak 701,000 manakala data tuntutan pengangguran AS melonjak tinggi dengan jumlah tuntutan bagi manfaat pengangguran meningkat ke paras tertinggi dalam sejarah pada 6.6 juta minggu lalu.

Sementara itu, katanya, unjuran terkini Keluaran Dalam Negara Kasar 2020 Bank Negara Malaysia pada -2.0 peratus hingga 0.5 peratus menunjukkan peningkatan risiko kemelesetan bagi ekonomi Malaysia kerana ekonomi global juga dijangka menguncup.

“Justeru itu, permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS dijangka meningkat. Indeks dolar AS (DXY) telahpun melepasi paras 100 mata pada Jumaat minggu lepas, membayangkan permintaan tinggi terhadap dolar susulan pengelakan risiko.

“Dolar AS berbanding ringgit dijangka berada dalam jajaran antara RM4.35 hingga RM4.40,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.7181/7266 daripada 4.7049/7175 pada penutup Jumaat minggu lepas dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0324/0379 daripada 3.0319/0399.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0046/0114 daripada 4.0118/0221 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3412/3519 daripada 5.3495/4631.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini