Ringgit dijangka dalam jajaran kecil minggu hadapan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka dalam jajaran kecil minggu hadapan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu hadapan walaupun harga minyak pulih berikutan sentimen global yang kekal tidak menentu.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes, berkata kebimbangan mungkin meningkat membabitkan isu berasaskan permintaan berikutan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sehingga 12 Mei.

"Lanjutan tempoh PKP itu telah meningkatkan kebimbangan ekonomi dengan serta merta walaupun perlanjutan itu bukanlah sesuatu yang tidak dijangka dengan mengambil kira situasi negara jiran, Singapura.

"Ini (lanjutan) dijangka mempengaruhi sentimen ringgit dan menyokong peningkatan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding kumpulan mata wang lain dalam jangka pendek," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata ringgit/dolar AS dijangka terus menerima sokongan di atas purata pergerakan 50 hari yang kini berada pada paras 4.2979.

"Bagaimanapun, kehadiran di bawah paras 4.30 yang berlanjutan, didorong oleh sentimen minat risiko yang berterusan atau kelemahan dolar AS menyaksikan pasangan mata wang itu menuju paras 4.25.

"Sekiranya dolar AS-ringgit menyaksikan paras psikologi yang melepasi 4.40, oleh itu, paras rintangan 4.45 dijangka kembali sekali lagi seperti 23 Mac," kata Tan.

Mengenai masa hadapan, beliau berkata, sekiranya harga minyak pulih pada Mei berikutan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) mula mengurangkan bekalan dan ekonomi utama dibuka semula, ia akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada ringgit.

Bagi dagangan sepanjang minggu, beliau berkata, ringgit mampu membendung pergolakan di pasaran minyak dengan meningkat 0.2 peratus berbanding dolar AS.

Paras 4.40 membuktikan paras rintangan yang boleh dipercayai kepada ringgit/dolar AS sekali lagi berikutan mata wang Malaysia bersandarkan kepada niaga hadapan minyak yang meningkat semula dan ditutup pada paras pertengahan 4.30 menjelang akhir minggu.

Tan berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia jatuh 0.2 peratus pada Mac akan mengurangkan sekatan untuk pelonggaran dasar monetari berikutan bank pusat mengimbangi impak negatif ekonomi daripada COVID-19.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, unit tempatan diniagakan kukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 4.3600/3680 daripada 4.3650/3750 pada Jumaat sebelumnya.

Unit tempatan juga meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0594/0657 daripada 3.0621/0702 namun turun berbanding yen Jepun kepada 4.0494/0576 daripada 4.0465/0562 pada Jumaat sebelumnya.

Ia turun berbanding pound kepada 5.3741/3853 daripada 5.4200/4342 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6927/7030 berbanding 4.7216/7338. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini